ALOR SETAR – Isu Kampung Sungai Baru tiada kaitan dengan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) 2025, sebaliknya membabitkan tanah dan bangunan.
Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, PSB yang digubal turut menyentuh aspek tanah dan bangunan sehingga wujud kebimbangan ia lebih memihak kepada pemaju.
**media[3271172]**
"Kita nak bagi tahu bahayanya PSB itu contohnya apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru. Kampung Sungai Baru tak berkait dengan PSB, berkait dengan isu tanah, isu bangunan sama PSB.
"Kita kata kalaulah tanpa PSB sekarang ini pun undang-undang atau keputusan dah berpihak kepada pemaju, apatah lagi bila ada PSB 'confirm' akan berpihak kepada pemaju. YB Syed Saddiq pun kata ini undang-undang akan berpihak kepada pemaju," dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia kali ke-66 di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Woo Kah Leong dilaporkan sebuah portal media, membidas kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar itu yang didakwa cuba mempolitikkan isu Kampung Sungai Baru dengan mengaitkannya dengan PSB.
Sebelum ini, Afnan dilaporkan berkata, Kampung Sungai Baru bukan sekadar isu lokal tetapi gambaran awal nasib rakyat jika PSB diluluskan.
Menurut Afnan dalam kenyataan sama, pemaju secara tergesa-gesa mengusir penduduk sedangkan tarikh rayuan di Mahkamah Rayuan dijadualkan 3 Oktober ini.